TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

9 pelajar di Kemaman direman belasah rakan sekolah hingga cedera gara-gara cemburu mangsa simpan gambar 'ex-gf'

By
|
Kongsi
image

 

 

KEMAMAN, 16 Jun – Sembilan pelajar sekolah menengah berusia antara 15 hingga 18 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes memukul seorang pelajar tingkatan dua di daerah ini, hujung bulan lalu.

Perintah reman terhadap kesemua pelajar lelaki tersebut dikeluarkan oleh Hakim Wan Suhaila Mohd. di Mahkamah Majistret Kemaman, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli, kesemua suspek ditahan pada jam 1.30 tengah hari semalam selepas mangsa yang berusia 14 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati pelajar tersebut dipukul oleh sekumpulan rakan sekolahnya dalam dua insiden berasingan yang berlaku pada 27 dan 28 Mei lalu.

“Punca kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati salah seorang suspek terhadap mangsa yang masih menyimpan gambar seorang remaja perempuan yang didakwa kekasihnya sekarang.

“Sebelum menjalin hubungan dengan suspek, remaja perempuan itu dipercayai merupakan bekas kekasih kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online, hari ini.

Tambah beliau, tindakan suspek utama bersama beberapa rakannya yang bertindak memukul mangsa secara beramai-ramai menyebabkan pelajar itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan belakang badan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

+ - reset