TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Keluar main seorang diri, budak 3 tahun ditemukan lemas dalam parit sawah di Besut

By
|
Kongsi
image

 

BESUT, 17 Jun – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan lemas dalam sebuah parit sawah padi berhampiran rumah neneknya di Kampung Bukit Kenak, Tok Kundur, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, mangsa, Intan Inara Mohammad Hariz Husaini, disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Besut.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 6 petang, apabila mangsa dikatakan keluar melalui pintu belakang rumah neneknya dan bermain seorang diri di kawasan belakang rumah tanpa disedari ahli keluarga.

“Mangsa kemudian ditemui terapung dalam parit sawah kira-kira 300 meter dari rumah neneknya oleh bapa saudaranya pada jam 6.10 petang,” katanya.

Susulan penemuan tersebut, bapa mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja pada jam 8.53 malam.

Mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan telah disahkan meninggal dunia.

Proses bedah siasat dijadualkan dijalankan pagi ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Dalam pada itu, Azamuddin menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa berwaspada dan memantau pergerakan anak kecil, khususnya di kawasan yang berisiko seperti berhampiran sungai, parit atau kawasan sawah, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

 

+ - reset