Berita Berita
Perikatan Nasional gesa ketelusan dalam pelantikan hakim Persekutuan

KUALA LUMPUR 17 Jun – Perikatan Nasional (PN) menyuarakan kebimbangan serius terhadap gelombang persaraan serentak sembilan orang hakim Mahkamah Persekutuan, termasuk Ketua Hakim Negara, yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, perkembangan luar biasa itu merupakan ujian terbesar kepada komitmen negara terhadap prinsip kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.
Menurutnya, kenyataan tegas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini perlu diambil sebagai peringatan penting.
“Beliau mengimbau kembali Krisis Kehakiman 1988 sebagai detik paling gelap dalam sejarah perlembagaan negara. Hanya tanggapan berlakunya campur tangan politik pun sudah cukup untuk menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, walaupun penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada 2009 dilihat sebagai satu bentuk reformasi, persoalan mengenai ketelusan dan kebebasan pelantikan hakim masih wujud dan kini kembali dipersoalkan.
Justeru, beliau menegaskan bahawa sempena pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu serta beberapa jawatan tertinggi badan kehakiman lain, proses pelantikan perlu benar-benar berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan bebas sepenuhnya daripada pengaruh politik atau campur tangan mana-mana pihak.
PN turut menyatakan beberapa pendirian penting, antaranya memastikan JAC diberi ruang menjalankan tanggungjawab tanpa tekanan politik, khususnya daripada pihak eksekutif.
“Nama-nama calon yang dicadangkan harus berdasarkan kelayakan, integriti dan senioriti – bukan hubungan atau kecenderungan politik,” katanya.
PN juga mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dwipartisan bagi memantau proses pelantikan hakim demi menjamin akauntabiliti tanpa menjejaskan kebebasan badan kehakiman.
Dalam masa sama, PN mendesak Perdana Menteri menyatakan komitmen secara terbuka untuk bertindak berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan serta menghormati doktrin pengasingan kuasa.
Takiyuddin turut mencadangkan agar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada 1988 dikaji semula bagi mengembalikan kuasa asal badan kehakiman sebagai cabang pemerintahan yang setara.
“PN ingin menegaskan bahawa kebebasan badan kehakiman bukan satu pilihan, tetapi asas kepada sebuah demokrasi yang matang,” tegas beliau.
Tambahnya, rakyat Malaysia berhak kepada sistem keadilan yang tegas, adil dan bebas daripada rasa takut atau pilih kasih.
“Keputusan yang diambil hari ini akan menentukan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman untuk puluhan tahun akan datang.
“PN akan terus menjadi entiti semak dan imbang yang bertanggungjawab, mempertahankan kebebasan badan kehakiman daripada sebarang bentuk pengaruh atau kembalinya era gelap pengkhianatan perlembagaan,” katanya. – Media Telus
Berita berkaitan
June 17, 2025, 3:59 pm
Jumlah hari sekolah kekal tiap tahun, NUTP nafi guru tak sempat tamat silibus
June 17, 2025, 3:44 pm
Maszlee dakwa jemputan ucaptama di IPTA dibatalkan kerana tiada tauliah agama
June 17, 2025, 3:43 pm
'Bukan mudah tinggalkan NRES' - Nik Nazmi kekal letak jawatan
June 17, 2025, 3:07 pm
Penyanyi Sheqal meninggal dunia
June 17, 2025, 2:37 pm
Akta 652 bakal digubal, TVET diangkat setaraf PHD - Steven
June 17, 2025, 11:38 am
'Tiada keperluan rombak Kementerian Ekonomi, selamat maju jaya Rafizi' - Anwar
June 17, 2025, 11:02 am