TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis serbu pusat hiburan beroperasi tanpa lesen sah di Sri Hartamas

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Jun – Sebuah pusat hiburan berkonsepkan kafe yang menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) di Desa Sri Hartamas, di sini, diserbu polis dalam operasi pada malam Isnin.

Operasi Noda yang bermula kira-kira jam 11.15 malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama Balai Polis Sri Hartamas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, seramai 10 warga Myanmar berusia antara 22 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan itu.

“Tangkapan terdiri daripada lima wanita dipercayai GRO, empat lelaki pekerja premis dan seorang penjaga,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Turut dirampas dalam serbuan ialah buku catatan, peralatan audio serta beberapa jenis minuman keras.

Menurut beliau, premis berkenaan disyaki beroperasi tanpa lesen sah, menggajikan pekerja asing dan melanggar syarat permit.

“Siasatan awal mendapati premis mula beroperasi dari jam 7 malam hingga 7 pagi setiap hari dan kebanyakan pelanggan terdiri daripada warga Myanmar,” katanya.

Tambahnya, GRO terbabit dipercayai memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 76 Akta Eksais 1976,” katanya. – Media Telus

+ - reset