Berita Jenayah
Pengurus syarikat rugi lebih RM1.7 juta akibat pelaburan palsu di WhatsApp

JOHOR BAHRU 17 Jun – Seorang pengurus syarikat berusia 67 tahun kerugian lebih RM1.7 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan palsu dalam talian yang menjanjikan pulangan harian sehingga 10 peratus.
Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk M. Kumar berkata, mangsa mengenali skim tersebut menerusi satu kumpulan WhatsApp bernama ‘C-10 Freeman Saham 17’ pada April lalu.
“Kumpulan itu mempromosikan skim pelaburan saham yang kononnya menawarkan pulangan harian antara lima hingga 10 peratus bergantung kepada prestasi pasaran.
“Teruja dengan janji keuntungan tinggi, mangsa mula membuat pemindahan wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kumar, mangsa melakukan 12 transaksi bank antara 16 April hingga 30 Mei, melibatkan jumlah keseluruhan melebihi RM1.7 juta ke lima akaun bank yang dipercayai milik sindiket.
“Namun, mangsa langsung tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan. Sebaliknya, dia diminta untuk membayar lagi RM500,000 kononnya bagi ‘membuka kunci’ hasil pelaburannya.
“Permintaan bayaran berulang kali itu menimbulkan kecurigaan dan mangsa akhirnya sedar dia telah ditipu sebelum membuat laporan polis pada 12 Jun lalu,” jelasnya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang ditemui di media sosial, terutamanya yang menjanjikan pulangan cepat dan dijamin.
“Semak dahulu kesahihan sebarang tawaran pelaburan dengan pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti atau polis sebelum membuat sebarang transaksi kewangan,” ujarnya.
Datuk Kumar turut menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan “Semak Mule” untuk menyemak sama ada nombor akaun bank atau nombor telefon berkaitan pernah terlibat dalam penipuan.
Katanya, kesedaran awam mengenai jenayah komersial amat penting bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.
“Orang ramai perlu sentiasa mengikuti maklumat terkini mengenai taktik penipuan melalui akaun media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Facebook, Instagram dan TikTok,” katanya.
Beliau turut menggesa orang awam agar mengambil tanggungjawab untuk sentiasa berwaspada kerana penjenayah sentiasa mengubah taktik mereka. – Media Telus
Berita berkaitan
June 17, 2025, 3:30 pm
Dua maut ditembak di Loke Yew, polis buru suspek bertopeng
June 17, 2025, 2:04 pm
Dua polis antara 4 lelaki dipenjara 12 tahun, sebat bersalah rompak RM1.1 juta
June 17, 2025, 10:45 am
Polis serbu pusat hiburan beroperasi tanpa lesen sah di Sri Hartamas
June 16, 2025, 11:06 am
Jurulatih bola sepak ditahan, disyaki cabul dua remaja perempuan bawah umur
June 16, 2025, 10:12 am
Jurulatih karate disyaki cabul pelatih wanita sakit kaki di akademi di Shah Alam
June 13, 2025, 10:38 am
Polis buru suspek baling mercun hingga rosakkan 3 rumah di Bukit Mertajam
June 12, 2025, 5:17 pm
Penyanyi rap tempatan ditahan di Laos cuba seludup 86kg ganja ke Jerman
June 12, 2025, 3:19 pm