TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Dua polis antara 4 lelaki dipenjara 12 tahun, sebat bersalah rompak RM1.1 juta

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Dua anggota polis bersama dua orang awam hari ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah merompak wang tunai berjumlah RM1.1 juta milik seorang ahli perniagaan.

Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman itu ke atas keempat-empat tertuduh selepas mahkamah mendapati pembelaan mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mereka yang dihukum ialah Koperal Hasrol Irmey Abu Hasim, 36, Koperal Muhammad Helmi Jamaluddin, 34, serta dua orang awam, Amir Moktar, 47, dan Mohd Ridhwan Azman, 39.

Kesemua mereka didapati bersalah merompak mangsa berusia 26 tahun di kawasan tempat letak kereta sebuah bangunan di Jalan Chan Sow Lin, pada jam 1.30 petang, 14 Disember 2021, dengan menggunakan senjata api.

Perbicaraan kes bermula pada Julai 2023, menyaksikan 35 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, manakala keempat-empat tertuduh memberikan keterangan secara bersumpah dalam prosiding pembelaan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata, mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir mengendalikan pendakwaan, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nur Azimul Azami Mohamad Nor dan Lim Yoi Ping.

Sebaik keputusan diumumkan, pihak pembelaan memohon penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Hakim membenarkan permohonan untuk memfailkan permohonan rasmi penangguhan pelaksanaan hukuman.

+ - reset