TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Dua maut ditembak di Loke Yew, polis buru suspek bertopeng

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Jun – Polis sedang giat mengesan sekumpulan individu yang disyaki terlibat dalam kes tembakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar pukul 12.48 tengah malam.

Menurut beliau, kejadian membabitkan sekumpulan lelaki yang memakai topeng ski berwarna hitam dan menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.

“Dalam kejadian tersebut, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an maut di tempat kejadian akibat terkena tembakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-9284 5050 / 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, media melaporkan dua lelaki dipercayai berasal dari Sibu, Sarawak ditembak sejurus mereka ingin menaiki kenderaan di lokasi kejadian kira-kira pukul 10.26 malam. – Media Telus

+ - reset