TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suami isteri maut, 3 anak parah kereta dinaiki bertembung lori di Pekan

By
|
Kongsi
image

 

 

PEKAN 18 Jun - Sepasang suami isteri maut manakala tiga anak mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Jalan Kuantan–Segamat, berhampiran Kampung Batu Lapan, Lepar, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam ketika lima sekeluarga itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Segamat.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kereta jenis Proton Wira yang dipandu Jamal Azizul Samat, 44, dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori.

"Akibat kemalangan itu Jamal Azizul dan isteri tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang depan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mangsa yang maut ialah Jamal Azizul dan isterinya, Lizawati Abdullah, 41, yang berasal dari Felda Chini Timur 1.

Tiga anak mereka berusia antara 6 hingga 17 tahun mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu lori berusia 31 tahun serta dua kelindan yang berada di dalam kenderaan berat berkenaan hanya mengalami cedera ringan.

Mayat kedua-dua suami isteri telah dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian.

+ - reset