TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat punca bunyi letupan kuat, gegaran di Ipoh

By
|
Kongsi
image

IPOH 18 Jun – Penduduk sekitar Ipoh pagi tadi digemparkan dengan bunyi letupan kuat dan gegaran yang belum diketahui puncanya, mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan tersebut.

“Kita sedang siasat,” katanya ringkas.

Beliau turut memaklumkan bahawa Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, akan mengeluarkan kenyataan rasmi sekiranya maklumat lanjut diperoleh.

Seorang penduduk di Klebang Harmoni, Mohammad Danial Nordin, 36, berkata beliau terdengar bunyi yang menyerupai letupan ketika berada di rumah.

“Saya dengar bunyi seperti ada orang tutup pintu dengan kuat dan berlaku gegaran semasa kejadian.

“Memang misteri sungguh sebab bunyi yang sangat kuat dan berlaku gegaran,” katanya yang masih terkejut.

Fenomena tersebut turut mencetuskan reaksi di media sosial, apabila beberapa pengguna mendakwa merasai gegaran sekitar jam 10.30 pagi, termasuk di kawasan Chemor, Chepor dan Tanah Hitam.

Ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di bandar raya ini. Pada 21 Oktober tahun lalu, satu gegaran kuat disertai bunyi dentuman juga dilaporkan dirasai di beberapa lokasi termasuk Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput sekitar jam 11.06 pagi.

Ketika itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, memaklumkan bahawa insiden tersebut masih diklasifikasikan sebagai misteri, dengan siasatan lanjut masih dijalankan.

+ - reset