Berita Berita
Imigresen tahan dua penjawat awam terbabit sindiket palsu dokumen untuk warga asing

KUALA LUMPUR 18 Jun – Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan dua sindiket pemalsuan dokumen dalam dua operasi khas berasingan di ibu negara dan Petaling Jaya, Isnin lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama dijalankan jam 11 pagi oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, melibatkan dua premis sekitar Jalan Ipoh.
"Berdasarkan aduan dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi membuat pemeriksaan terhadap seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan yang sedang berurusan di premis berkenaan.
"Kita menahan seorang lelaki warga Pakistan yang dikenal pasti sebagai dalang utama sindiket berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.
Rampasan turut dibuat termasuk 13 pelekat palsu seperti visa Bangladesh, India, Amerika Syarikat, Pakistan, Indonesia dan pelekat muka hadapan biometrik pasport Bangladesh.
Turut dirampas, satu set komputer, komputer riba dan mesin pencetak yang dipercayai digunakan untuk mencetak pelekat palsu.
"Sindiket menjual pelekat palsu kepada pendatang asing tanpa izin dengan kadar antara RM100 hingga RM120 sekeping, bergantung kepada negara asal dokumen," katanya lagi.
Suspek kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya, manakala dua warga tempatan yang hadir di premis itu diberikan notis untuk membantu siasatan.
Dalam serbuan kedua yang dijalankan pada jam 6.42 petang hari sama di Maluri dan Petaling Jaya, dua wanita dan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 hingga 43 tahun ditahan. Dua daripada mereka merupakan penjawat awam.
"Modus operandi sindiket ini adalah memproses pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu kepada warga asing tanpa pas di Lembah Klang. Mereka mengenakan bayaran sehingga RM11,000 untuk setiap permohonan," katanya.
Rampasan dalam serbuan kedua termasuk 101 pasport dari pelbagai negara — antaranya 74 dari Sri Lanka, 13 dari Myanmar, serta pasport dari Vietnam, Indonesia, Ghana, India, Pakistan, Bangladesh dan Syria.
Turut dirampas, dua telefon bimbit, salinan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan sebuah kenderaan Toyota Vellfire yang digunakan sindiket.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan beberapa individu lain telah dipanggil untuk membantu siasatan. - Media Telus
Berita berkaitan
June 18, 2025, 4:22 pm
Langkah penguatkuasaan jualan vape dadah dalam talian akan dibincang tiga kementerian
June 18, 2025, 4:13 pm
Kerajaan peruntuk RM20 juta naik taraf sekolah dalam kem tentera
June 18, 2025, 4:06 pm
Polis jamin tahap keselamatan Kuala Lumpur masih terkawal
June 18, 2025, 4:02 pm
Najib dibenar hadir prosiding rayuan peguam negara berhubung titah adendum
June 18, 2025, 3:53 pm
Salah laku pegawai, anggota polis Kelantan meningkat hampir 100 peratus
June 18, 2025, 3:33 pm
Pelajar maut motosikal ditunggang rempuh kereta depan sekolah di Melaka
June 18, 2025, 3:17 pm
Makin ramai pesara, penjawat awam di Kelantan jadi mangsa 'phone scam' - Polis
June 18, 2025, 2:50 pm
JMG Perak sahkan gegaran pagi tadi bukan akibat letupan kuari
June 18, 2025, 2:32 pm