TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PGA serbu kedai vape depan sekolah di Kelantan, rampasan bernilai RM182,000

By
|
Kongsi
image

TUMPAT 18 Jun – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Majlis Daerah Tumpat (MDT) merampas pelbagai rokok elektronik dan cecair vape bernilai RM182,000 dalam serbuan ke atas sebuah premis tidak berlesen di Kampung Kelaboran, semalam.

Serbuan dilakukan kira-kira pukul 1.45 tengah hari berdekatan sebuah sekolah, hasil maklumat risikan dalam pelaksanaan Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, premis berkenaan diserbu setelah disyaki menjalankan perniagaan vape secara haram.

“Lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen dan lesen yang sah daripada pihak MDT berkaitan perniagaan rokok elektronik.

“Pemeriksaan di dalam premis itu membawa kepada rampasan sebanyak 1,380 unit cecair termasuk peranti vape, cecair vape (27 tin), cecair vape (63 peket) dan peranti vape (529 unit),” katanya.

Katanya, lelaki berusia 31 tahun yang berada dalam premis ketika serbuan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Kesemua barangan yang dirampas diserahkan kepada MDT untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 4(5)(c) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MDT 2019.

Terdahulu, kerajaan negeri Kelantan menegaskan bahawa tiada lesen pernah dikeluarkan untuk premis penjualan rokok elektronik atau vape.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, menjelaskan bahawa pihak berkuasa tempatan sentiasa menjalankan rondaan dan penguatkuasaan.

“Selain itu, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) jelas mengawal dengan lebih ketat kegiatan penjualan, pengiklanan dan tempat merokok semua jenis produk termasuk vape,” katanya.

+ - reset