TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Media sosial punca peningkatan kes rogol remaja di Johor

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 18 Jun – Pengaruh media sosial berunsur lucah dikenal pasti sebagai antara punca utama peningkatan kes rogol membabitkan remaja di Johor, dengan 54 kes direkodkan sepanjang 2023 hingga kini.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, trend itu amat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera, termasuk melalui pendekatan pendidikan di peringkat sekolah.

“Peningkatan kes ini berpunca daripada pengaruh media sosial yang mudah diakses serta kurangnya pengetahuan masyarakat mengenai undang-undang jenayah seksual.

“Kerosakan institusi keluarga turut menjadi faktor penyumbang apabila remaja kurang mendapat perhatian, kasih sayang dan kawalan ibu bapa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Turut hadir, Ketua Cawangan Khas Johor, Senior Asisten Komisioner Nor Azizi Maarof dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat.

Menurut Kumar, pihaknya menerusi Unit Siasatan Seksual (D11) kini giat menjalankan ceramah kesedaran di sekolah-sekolah bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kesalahan jenayah seksual.

Beliau turut menyeru semua pihak agar lebih peka terhadap pergaulan anak-anak dan mengukuhkan institusi kekeluargaan.

“Didik anak-anak dengan nilai moral dan pegangan agama yang tinggi agar mereka tidak mudah terjerumus ke kancah jenayah,” tegasnya.

Sindiket dadah tumpas, rampasan lebih RM83 juta

Dalam perkembangan berasingan, Kumar memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya menumpaskan 21 sindiket pengedaran dadah sejak awal tahun hingga Mei lalu.

“Sebanyak 58 ahli sindiket ditahan dengan rampasan dadah bernilai RM81.07 juta dan sitaan aset bernilai RM2.26 juta,” ujarnya.

Secara keseluruhan, JSJN Johor merekodkan 10,794 tangkapan berkaitan pelbagai kesalahan dadah, dengan nilai rampasan mencecah RM83.18 juta dan sitaan harta sebanyak RM7.49 juta.

Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor turut mencatatkan kadar penyelesaian kes jenayah indeks sebanyak 59.64 peratus di seluruh negeri.

“PDRM Johor akan terus komited memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin,” katanya. - Media Telus

+ - reset