TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Remaja 17 tahun didakwa bunuh ibu, abang, cederakan adik hingga parah

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 18 Jun – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan, termasuk membunuh ibu dan abangnya dalam kejadian tragis di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, minggu lalu.

Tertuduh yang memakai baju lokap ungu kelihatan sugul dan hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.

Mengikut dua pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian ibu dan abangnya yang masing-masing berusia 51 dan 21 tahun antara jam 5 hingga 5.30 pagi, 12 Jun 2025 di sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara, dalam daerah Melaka Tengah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta sekiranya tidak dihukum mati, tertuduh boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap adik lelakinya yang berusia 13 tahun menggunakan pisau lipat pada masa dan lokasi yang sama, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Roslan tidak menawarkan sebarang jaminan, manakala peguam bela Cassian Anthony yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang guru wanita dan anak lelakinya ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka, manakala anak bongsu keluarga itu yang berusia 13 tahun cedera dan ditemui di kawasan garaj kediaman.

Suspek yang juga anak kedua keluarga berkenaan, ditahan pihak polis selepas siasatan awal mendapati dia dipercayai bertanggungjawab atas kejadian tersebut.

Pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui pisau lipat sepanjang 20 sentimeter dalam beg sekolah milik suspek. Siasatan awal polis mendapati motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada dendam, apabila mangsa dikatakan sering memarahi dan memaksa suspek belajar menjelang peperiksaan SPM tahun ini.

+ - reset