TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPDN rampas selipar, kasut tiruan berjenama mewah bernilai hampir RM400,000 di Jalan TAR

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menyita 15,000 pasang kasut dan selipar tiruan berjenama mewah bernilai hampir RM400,000 dalam serbuan ke atas lapan stor dan dua bilik pameran di sebuah kompleks pemborong berhampiran Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, kelmarin.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman, berkata serbuan pada 16 Jun itu dilaksanakan hasil risikan selama dua minggu bersama 12 wakil pemilik cap dagangan, sebelum berjaya mengenal pasti rangkaian sindiket pengedaran produk tiruan yang aktif di ibu negara.

“Stor dan bilik pameran berkeluasan antara 20 hingga 60 kaki persegi itu dipercayai dijadikan tempat simpanan dan pameran sebelum barangan diedarkan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media di Stor Ekshibit KPDN Kuala Lumpur hari ini.

Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki tempatan berusia awal 20-an yang dipercayai bertugas sebagai pengurus premis turut ditahan bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati kasut dan selipar berjenama tiruan itu dipercayai diseludup masuk dari China melalui pelabuhan-pelabuhan utama negara. Sindiket membeli selipar tiruan dengan harga antara RM3 hingga RM4 sepasang dan menjualnya semula secara borong kepada peniaga tempatan yang kemudiannya menawarkan harga runcit antara RM15 hingga RM20.

Bagi kasut, kos belian sekitar RM20 sepasang, dijual kepada peniaga pada harga RM50, sebelum dijual semula kepada pengguna antara RM80 hingga RM100 sepasang.

“Peniaga boleh membuat pilihan dan tempahan terus dari bilik pameran tertutup sebelum barangan diedarkan mengikut rangkaian yang telah ditetapkan,” katanya.

Premis yang baru beroperasi kira-kira dua bulan itu dipercayai milik seorang individu tempatan yang identitinya telah dikenal pasti.

Kes kini disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan turut dirujuk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) susulan nilai rampasan yang tinggi dan kemungkinan wujudnya jaringan sindiket yang lebih besar.

Setakat tahun ini, KPDN Kuala Lumpur telah mencatatkan 64 kes berkaitan pelanggaran harta intelek membabitkan 30,100 unit barangan tiruan dengan nilai rampasan mencecah RM1.5 juta, serta penahanan 10 individu di bawah Ops Jeriji 6.0.

Mohd Sabri menegaskan bahawa mana-mana individu atau syarikat yang didapati terlibat dalam pengedaran dan penjualan produk tiruan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan, atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyokong pembelian barangan tiruan kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan keselamatan pengguna, reputasi jenama serta ekonomi negara.

“Tindakan ini juga membuktikan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa selaras dengan penyertaan negara dalam Protokol Madrid sejak 27 Disember 2019,” ujarnya.

 

+ - reset