TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Najib dah lama minta DNAA, dia sangat gembira hari ini' - Peguam

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Jun – Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa gembira selepas Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan untuk melepas tanpa membebaskannya (DNAA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta berkaitan SRC International Bhd.

Perkara itu disampaikan oleh peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sidang media selepas selesai prosiding mahkamah.

Keputusan DNAA itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, selepas meneliti bahawa perbicaraan kes terbabit masih belum bermula walaupun pertuduhan dikemukakan sejak 2019.

"Najib sudah lama meminta DNAA untuk kes itu dan dia sangat gembira memperolehnya hari ini. Sekarang, tidak terlalu banyak kes yang perlu dihadapinya. Dia boleh menumpukan perhatian kepada kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sekarang."

Hakim memutuskan bahawa garis masa perbicaraan yang tidak menentu mengakibatkan Najib menanggung beban penantian panjang, sekali gus menafikan hak beliau untuk mendapatkan penyelesaian yang sewajarnya dan pada masa yang tepat.

Bagaimanapun, menurut Muhammad Shafee, Najib tetap kembali ke penjara kerana sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara berkaitan sabitan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC bernilai RM42 juta pada Julai 2020. "Untuk kes ini, Najib dibebaskan, tetapi kerana dia sedang menjalani hukuman penjara, dia perlu kembali ke penjara," katanya.

Najib sebelum ini didakwa pada 3 Februari 2019 atas tiga pertuduhan menerima RM27 juta hasil aktiviti haram melalui tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda hingga RM5 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

+ - reset