TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Maszlee simpati Fadhlina dikritik Rafizi, gesa KPM jangan berdiam diri

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Jun – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menyuarakan simpati terhadap Fadhlina Sidek yang menjadi sasaran kritikan susulan kenyataan Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung prestasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), baru-baru ini.

Maszlee berpandangan bahawa Fadhlina seperti ditinggalkan berseorangan untuk menjawab kritikan berkenaan tanpa sokongan daripada pihak dalaman kementerian sendiri.

“Saya tertanya-tanya, di manakah Setiausaha Akhbar Menteri, Unit Komunikasi Korporat (UKK) KPM dan barisan pimpinan tertinggi kementerian seperti Ketua Pengarah dan Timbalan-timbalannya?

“Kritikan itu bukan kepada individu semata-mata, tetapi terhadap KPM sebagai sebuah entiti. Sepatutnya dalam tempoh 24 jam selepas siaran podcast Rafizi, mereka harus segera memberi penjelasan dan membela institusi,” katanya dalam kenyataan.

Rafizi sebelum ini melalui podcast “Yang Berhenti Menteri” menyindir KPM dengan menyuarakan rasa kecewa terhadap ketiadaan dasar utama sepanjang dua tahun setengah pentadbiran Fadhlina.

“Kementerian Ekonomi disoal siasat setiap masa. Tapi bagaimana dengan Kementerian Pendidikan? Mana dasar-dasar utamanya?” katanya dalam podcast tersebut.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata beliau turut ingin tahu sama ada KPM mempunyai jawapan atau data yang mampu menepis tuduhan Rafizi bahawa tiada perubahan signifikan dilakukan.

Beliau mencadangkan agar kementerian tampil dengan infografik serta penilaian daripada pihak ketiga yang bebas dan profesional bagi menunjukkan pencapaian sebenar kementerian.

“Kita tidak mahu reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini mendapat sokongan 55 peratus rakyat, tercalar hanya kerana serangan yang tidak dibalas dengan fakta dan hujah kukuh,” katanya lagi. – Media Telus

+ - reset