TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan pertimbang skim insurans asas guna Akaun 2 KWSP, ringan beban rakyat hadapi kos perubatan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 27 Jun - Kerajaan kini sedang meneliti cadangan untuk memperkenalkan skim insurans asas bagi rakyat Malaysia dengan membenarkan penggunaan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai produk insurans berkaitan kesihatan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah ini adalah antara usaha kerajaan untuk memastikan rakyat memperoleh perlindungan asas yang mencukupi dalam menghadapi kos perubatan yang terus meningkat setiap tahun.

“Kita telah menubuhkan satu jawatankuasa bersama yang melibatkan kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.

“Kita juga telah mengumpulkan pemain-pemain industri untuk membincangkan cara mengurangkan impak inflasi terhadap kos perubatan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2025 Kendalian SME Bank di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.

Menurut beliau, perbincangan sedang dijalankan untuk mewujudkan satu skim insurans asas nasional dengan pendekatan yang tidak membebankan rakyat.

“Kita sedang cari jalan terbaik. Jangan terburu-buru buat keputusan sebelum ada satu mekanisme yang benar-benar sesuai dan praktikal. Skim ini bukan sahaja perlu melindungi rakyat dari segi kesihatan, tapi juga dari aspek kestabilan ekonomi,” katanya.

Amir Hamzah berkata, antara pilihan yang sedang dikaji adalah penggunaan Akaun 2 KWSP untuk membiayai produk insurans di bawah Malaysian Health Insurance Trust (MHIT).

Namun, katanya, belum ada keputusan muktamad kerana ia memerlukan penelitian menyeluruh, termasuk kemungkinan sumbangan daripada sumber lain seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“MHIT adalah satu produk yang sedang dibangunkan. Selain itu, kita juga melihat kemungkinan sumbangan daripada sumber lain seperti Perkeso, tapi semuanya masih dalam perbincangan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya pencarum KWSP dibenarkan menggunakan Akaun 2 atau Akaun Sejahtera bagi membiayai premium bulanan insurans kesihatan.

Jika diluluskan kerajaan, cadangan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 16 juta pencarum KWSP yang berpeluang menikmati perlindungan insurans kesihatan termasuk untuk rawatan di hospital swasta.

l

+ - reset