TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PU Azman ajar agama, hafaz al-Quran empat juzuk di Penjara Kajang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Jun - Penceramah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman kini menjalani rutin harian di Penjara Kajang dengan mengajar agama kepada banduan lain serta menghafaz al-Quran.

Perkara itu dikongsikan peguamnya, Mohamad Zahid Ahmad menerusi satu hantaran di Facebook, yang dimuat naik dengan keizinan daripada bekas anak guamnya itu.

Menurut Mohamad Zahid, Azman yang kini berusia 44 tahun dan mesra disapa sebagai Cik Man berada dalam keadaan baik serta telah menghafaz empat juzuk al-Quran sepanjang berada dalam tahanan.

“Untuk pengetahuan semua, beliau berada dalam jagaan yang baik dan setiap hari beliau mengajar banduan di dalam penjara serta ada kalanya berkongsi ilmu dengan pegawai penjara.

“Beliau mohon didoakan dan dimaklumkan kini telah menghafaz empat juzuk al-Quran,” tulisnya.

Tambahnya, PU Azman juga gemar membaca dan sering meminta buku baharu dibawakan kepadanya setiap kali mereka bertemu, walaupun menyedari kehidupan di penjara bukan sesuatu yang mudah.

“Hanya beliau sahaja yang tahu apa yang beliau rasa. Namun setiap orang ada jalan dan ceritanya sendiri. Saya yakin apa yang terjadi kepada sahabat saya adalah ujian terbaik di sisi Allah,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Azman untuk menjalani hukuman penjara secara serentak selama 12 tahun berbanding 24 tahun, atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki.

Namun begitu, hukuman dua sebatan yang dikenakan terhadapnya sebelum ini dikekalkan, dan beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 27 September 2024. - Media Telus.

+ - reset