TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM persoal tindakan pelucuthatakan RM170 juta kes Ismail Sabri

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Julai – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memulakan prosiding pelucuthakan ke atas wang tunai RM170 juta yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh hanya empat bulan selepas sitaan, menimbulkan persoalan undang-undang dan prosedur, kata bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Menurut beliau, Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), hanya boleh digunakan oleh Pendakwa Raya jika tiada pertuduhan atau sabitan dibuat dalam tempoh 12 bulan dari tarikh sitaan aset.

“Ia adalah peruntukan khas yang lazim digunakan apabila pendakwaan tidak boleh dilakukan, seperti dalam kes suspek telah meninggal dunia, berada di luar bidang kuasa atau apabila bukti tidak mencukupi.

“Apa yang mengagumkan dalam kes ini ialah kepantasannya. Wang tunai RM170 juta itu disita pada 2 Mac 2025, dan menjelang awal Julai – hanya selepas empat bulan – Pendakwa Raya telah mengarahkan supaya permohonan pelucuthakan difailkan di bawah Seksyen 56,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzulkifli yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya mempersoalkan sama ada siasatan telah benar-benar diselesaikan dalam tempoh singkat itu dan jika ya, adakah ia bermaksud tiada kesalahan jenayah ditemui sehingga pelucuthakan menjadi pilihan berbanding pendakwaan.

“Adakah ini bermakna tiada pertuduhan akan dibuat terhadap pemilik wang itu? Jika pendekatannya ialah lucut hak dahulu dan dakwa kemudian, ini membalikkan prinsip keadilan jenayah yang asas, iaitu pendakwaan mesti mendahului hukuman, bukan sebaliknya.

“Kes ini mungkin menjadi precedent undang-undang pertama di Malaysia di mana pelucuthakan di bawah Seksyen 56 dimulakan sebelum ada keputusan muktamad mengenai pertuduhan,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa kuasa luar biasa seperti pelucuthakan aset mesti digunakan secara telus dan adil mengikut proses undang-undang, kerana sebarang penyalahgunaan akan mencetuskan persoalan besar terhadap integriti sistem keadilan jenayah.

“Jika tidak dilaksanakan secara berhati-hati dan mengikut undang-undang, keyakinan awam terhadap sistem keadilan akan terhakis,” tegasnya. – Media Telus

+ - reset