TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat dikompaun RM1,200 gagal pakai tali pinggang keledar – JPJ Terengganu

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU 4 Julai – Seorang pemandu bas ekspres dan tiga penumpang warga asing dikenakan kompaun berjumlah RM1,200 kerana gagal memakai tali pinggang keledar dalam operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu pada Khamis.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion, berkata setiap individu dikenakan kompaun sebanyak RM300 di bawah Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan) 2008, selaras dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Pemandu beri alasan terlupa pakai tali pinggang selepas keluar tandas, manakala penumpang mendakwa tidak tahu ia satu kewajipan. Tapi alasan itu tidak boleh diterima kerana hebahan telah dibuat sebelum penguatkuasaan bermula pada 1 Julai lalu,” katanya dalam sidang media.

13 bas diperiksa, empat saman dikeluarkan

Dalam operasi yang dijalankan sekitar Chendering dan Terminal Bas Kuala Terengganu, sebanyak 13 bas ekspres diperiksa, dan empat saman dikeluarkan terhadap individu yang mengabaikan pemakaian alat keselamatan tersebut.

Mohd Zamri menegaskan bahawa pemakaian tali pinggang keledar adalah tanggungjawab bersama, termasuk peranan pemandu mengingatkan penumpang sebelum perjalanan bermula.

Isu tali pinggang rosak: Bas baharu pun terkesan

Beliau turut mengingatkan pengusaha agar memastikan semua tali pinggang keledar berada dalam keadaan baik dan berfungsi, termasuk di tempat duduk penumpang.

“Pemeriksaan kita tertumpu kepada bas keluaran tahun 2020 ke atas. Namun, ada juga bas tahun 2024 yang tali pinggangnya rosak akibat tidak diselenggara. JPJ pandang serius perkara ini,” katanya.

Sehingga 3 Julai, sebanyak 79 buah bas telah diperiksa dan operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa. JPJ juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha bas bagi menyelesaikan isu berbangkit berkaitan pematuhan keselamatan. - Media Telus

+ - reset