TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pekerja asing terselamat selepas sejam tertimbus bawah runtuhan tanah di Nilai

By
|
Kongsi
image

 

NILAI 8 Julai - Seorang pekerja warga asing berusia 38 tahun berjaya diselamatkan selepas tertimbus dalam runtuhan tanah ketika menjalankan kerja pemasangan paip pembetungan di Jalan Teknologi 5, Kawasan Perindustrian Tech Park, Bandar Baru Nilai, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, mangsa yang mengalami sesak nafas selepas tertimbus di dalam saluran parit sedalam 2.5 meter, berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat selepas lebih sejam operasi menyelamat dijalankan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.44 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Laporan awal mendapati mangsa tertimbus ketika menjalankan kerja pemasangan paip pembetungan. Keadaan tanah yang belum stabil menyebabkan kami perlu menjalankan kerja-kerja menyelamat dengan berhati-hati bagi mengelakkan runtuhan susulan,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan pada jam 9.28 malam dan segera diberikan rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke hospital.

Menurut Bakarya, mangsa memaklumkan bahawa dia tertimbus sepenuhnya namun bernasib baik kerana masih terdapat ruang kecil yang membolehkannya bernafas.

“Tindakan pantas serta kerjasama antara semua pasukan termasuk polis dan St John Ambulance telah membantu mengeluarkan mangsa dalam keadaan selamat,” katanya.

+ - reset