TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki dikejar orang kurang siuman dengan gunting di Stesen MRT Sungai Buloh

By
|
Kongsi
image

SUNGAI BULOH 8 Julai - Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila dikejar oleh individu disyaki mengalami masalah mental di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian itu dilaporkan oleh anggota polis bantuan yang bertugas di stesen berkenaan pada jam 12.32 tengah malam selepas menerima maklumat daripada seorang wanita.

“Wanita berkenaan memaklumkan bahawa bapanya dikejar oleh seorang lelaki yang mencurigakan di aras bawah stesen MRT pada jam 11.15 malam. Dipandu arah oleh pengadu, anggota polis bantuan bersama rakan setugas segera ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebaik tiba, mereka mendapati seorang lelaki sedang meracau dan mengacukan gunting sebelum bertindak mengejar orang awam di kawasan tangga stesen.

“Lelaki itu berjaya ditahan dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi. Tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.

Susulan penahanan, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Mohd Hafiz memaklumkan, suspek kini ditahan di hospital dan telah direman selama tiga hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Balai Polis Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Azraai Mohamad Amin di nombor 018-9696941.

+ - reset