TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tunjuk bukti Anwar campur tangan soal kehakiman, jangan buat tuduhan liar' - AMK '

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 10 Julai - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencampuri urusan badan kehakiman, sebaliknya menyifatkannya sebagai tohmahan liar dan retorik politik tidak berasas.

Ketua AMK, Kamil Munim berkata, sehingga kini tidak wujud sebarang bukti menunjukkan Perdana Menteri melanggar peruntukan undang-undang atau mencampuri sistem kehakiman negara.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa dakwaan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu hanyalah naratif jahat dan tidak bertanggungjawab.

"Dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kebebasan kehakiman terjejas selagi Perdana Menteri mempunyai isu undang-undang peribadi dan kononnya Perdana Menteri sedang 'mengoyakkan' institusi negara untuk kekal berkuasa, adalah tidak berasas.

"Dakwaan bahawa kebebasan kehakiman terjejas selagi Perdana Menteri menghadapi isu undang-undang peribadi adalah suatu kenyataan yang perlu dibuktikan serta disandarkan dengan fakta yang konkrit, bukan tuduhan rambang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, hakikat bahawa seorang Perdana Menteri boleh melalui proses undang-undang sivil adalah petunjuk jelas kepada kebebasan badan kehakiman di negara ini.

"Ia menunjukkan tiada sesiapa yang kebal di bawah undang-undang dan prinsip kedaulatan undang-undang ditegakkan. Sistem kehakiman yang bebas akan membenarkan proses undang-undang berjalan tanpa campur tangan eksekutif, tidak kira siapa yang terlibat," katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan Muhyiddin sebagai cubaan politik untuk menangguk di air keruh dengan memperalatkan kenyataan beberapa Ahli Parlimen kerajaan.

"Pandangan atau pendapat mana-mana Ahli Parlimen Kerajaan tidak boleh ditafsir sebagai hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri," katanya.

Tambah beliau, sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan, pelbagai pandangan terbuka telah diberikan oleh Ahli Parlimen kerajaan terhadap dasar-dasar kerajaan, dan ini mencerminkan demokrasi yang matang.

"Itulah bukti nyata kekuatan kerajaan pada hari ini yang memperaku serta meraikan perbezaan pandangan dalam konteks sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang sebenarnya," katanya.

Beliau turut membandingkan pendekatan keterbukaan kerajaan kini dengan pendekatan pentadbiran terdahulu.

"Ia jauh berbeza dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu yang sebelum ini memilih untuk menutup Parlimen yang didakwanya kerana tidak berani berhadapan dengan ahli-ahli Parlimen pembangkang ketika itu," katanya.

Menurut Kamil, cubaan untuk mengaitkan dasar ekonomi negara dengan isu campur tangan dalam institusi juga tidak masuk akal.

"Dasar-dasar ini adalah keputusan kerajaan yang dibuat berdasarkan pertimbangan ekonomi dan keadaan fiskal negara dan ia tidak secara langsung membuktikan niat untuk campur tangan dalam institusi negara," katanya.

Mengulas permohonan Perdana Menteri merujuk lapan persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan, beliau menegaskan bahawa ia adalah hak setiap individu di bawah undang-undang.

"Menyifatkannya sebagai 'belum pernah berlaku sebelum ini' atau 'konflik kepentingan yang jelas' adalah tafsiran dangkal," katanya sambil menempelak kenyataan Pengerusi PN itu.

"Untuk seorang anggota veteran legislatif negara seperti beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu amat memalukan dan tidak patut," katanya.

+ - reset