TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JDT jadi penghalang utama Selangor FC raih kejuaraan – Exco sukan Selangor

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 10 Julai – Kerajaan Selangor mengakui prestasi unggul kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi penghalang utama kepada usaha Selangor FC (SFC) merangkul kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia dalam tempoh sedekad kebelakangan ini.

Mohd Najwan Halimi, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor berkata, kejayaan berterusan JDT memberi cabaran besar kepada pasukan negeri kerana JDT dilihat berada pada tahap yang sukar dicabar.

“JDT memang menjadi penghalang utama Selangor FC untuk merangkul kejuaraan dalam tempoh 10 tahun ini.

“Apa yang baik daripada JDT kita ambil seperti program latihan yang dipraktikkan mereka. Kita boleh contohi dan gunakan sebagai asas untuk menaikkan prestasi SFC,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan oleh Noor Najhan Mohamad Salleh (PN–Sementa) yang ingin mengetahui faktor utama kegagalan SFC mengembalikan era kegemilangannya seperti pada era 1990-an.

Dalam menjelaskan usaha pemulihan prestasi, Mohd Najwan berkata SFC kini menggunakan pendekatan hybrid — meneroka potensi bakat tempatan sambil mengambil pemain warisan berpengalaman antarabangsa.

“Pada masa ini, SFC menekankan bakat tempatan terus menjadi teras perpaduan dan rekrut pemain warisan untuk memberikan impak segera di atas padang.

“Kita sedang menyusun semula struktur pasukan dengan harapan mampu kembali mencapai tahap cemerlang seperti zaman keemasan dahulu,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri komited menyokong usaha pasukan itu melalui pelaburan terhadap sukan termasuk infrastruktur dan pembangunan pemain.

Selangor FC pernah digeruni pada era 1990-an sebelum pasukan itu mengalami kemerosotan pencapaian dalam tempoh dua dekad lalu, manakala JDT muncul sebagai pasukan dominan kebangsaan dengan beberapa kejuaraan berturut-turut sejak 2014. – Media Telus

+ - reset