Berita Berita
Siasatan telus kebocoran minit JAC perlu dijalankan – Ramkarpal, Muhyiddin

KUALA LUMPUR 14 Julai – Kebocoran minit mesyuarat Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) yang didakwa berlaku baru-baru ini memerlukan siasatan penuh dan telus, tegas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
Peguam kanan yang juga Pengerusi Biro Perundangan Kebangsaan DAP itu berkata, siasatan bukan sahaja perlu meneliti bagaimana dokumen itu bocor, tetapi juga kesahihan serta kandungan dokumen berkenaan.
“Paling penting ialah sama ada dakwaan yang terkandung dalam minit tersebut – termasuk dakwaan kemungkinan campur tangan dalam urusan kehakiman – benar atau tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail yang mengesahkan siasatan sedang dijalankan di bawah tiga akta iaitu Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, menunjukkan minit tersebut berkemungkinan tulen.
“Jika benar, maka ini menjadikan keperluan untuk menyiasat dakwaan campur tangan dalam minit itu jauh lebih penting. Rakyat berhak tahu kebenaran kerana ia membabitkan integriti institusi kehakiman,” tegasnya.
Ramkarpal turut memberi amaran bahawa kerajaan tidak boleh dilihat sambil lewa atau acuh tak acuh dalam isu ini, lebih-lebih lagi ketika beberapa pelantikan penting kehakiman bakal dibuat tidak lama lagi termasuk Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Katanya, pelantikan yang dibuat berdasarkan nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, harus dibuat dengan penuh berhati-hati.
“Mana-mana individu yang disebut dalam minit itu tidak wajar dipertimbangkan untuk sebarang jawatan utama dalam kehakiman, kecuali dan sehingga siasatan menyeluruh dilakukan dan nama mereka dibersihkan,” ujarnya.
Nada sama turut disuarakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut menggesa agar dakwaan salah laku dan campur tangan eksekutif disiasat secara menyeluruh.
Muhyiddin menegaskan bahawa integriti mesti menjadi asas utama dalam setiap pelantikan kehakiman kerana hakim memainkan peranan penting dalam menentukan keadilan yang boleh memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.
Beliau turut memetik Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 yang menyatakan integriti, kecekapan dan pengalaman sebagai kriteria utama calon kehakiman.
Minit JAC bertarikh 16 Mei 2025 yang bocor itu didakwa memuatkan kebimbangan seorang bekas Ketua Hakim Negara terhadap tindakan seorang hakim semasa menjawat jawatan Peguam Negara, termasuk dakwaan cuba mempengaruhi keputusan mahkamah dan permintaan menukar hakim tertentu.
“Ini adalah dakwaan serius mengenai salah guna kuasa dan campur tangan dalam institusi kehakiman. Sekiranya individu yang terlibat ini terus dipertimbang tanpa siasatan rapi, ia akan mencemarkan kredibiliti sistem pelantikan dan kepercayaan awam,” katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
July 15, 2025, 7:39 am
Penuntut universiti di Subang Jaya parah dikelar bekas kekasih
July 14, 2025, 5:06 pm
Nurul Izzah wajar digantung keahlian parti susulan sertai perarakan kehakiman - Zaid Ibrahim
July 14, 2025, 4:54 pm
Malaysia sedia tambah 100 lagi pelajar tajaan Mara ke New Zealand
July 14, 2025, 4:37 pm
Wan Saiful harap Nurul Izzah sampaikan mesej kepada PM
July 14, 2025, 4:29 pm
Pemandu lori maut, dua wanita cedera nahas di Lebuhraya PLUS
July 14, 2025, 3:47 pm
'Saya dah pulih, dah boleh kerja macam biasa' - Tun M
July 14, 2025, 3:25 pm
Peguam, NGO berkumpul depan Istana Kehakiman, Nurul Izzah turut hadir
July 14, 2025, 3:09 pm
Remaja OKU hilang di Muar ditemui selamat di Shah Alam
July 14, 2025, 3:02 pm
UMS terima dana tambahan RM1 juta selesai krisis air dalam tempoh sebulan - Fadillah
July 14, 2025, 2:14 pm