Berita Berita
Berdepan tentangan, tapi calon duta AS pro-Israel teruja nak rasai budaya Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Julai - Nick Adams, calon pilihan kontroversi Presiden Donald Trump untuk menjadi duta AS ke Malaysia, berjanji untuk menyebarkan kemurahan hati Trump kepada rakyat Malaysia.
Dalam video yang disiarkan di laman Instagram minggu lalu, Adams berkata dia juga teruja untuk merasai budaya Malaysia.
"Adalah satu penghormatan seumur hidup untuk mengambil kemurahan hari presiden dan menyebarkannya kepada orang hebat di Malaysia. Satu penghormatan buat saya untuk mewakili tuan presiden dan berkhidmat kepada negara kita di hadapan Sultan Ibrahim Iskandar dan rakyatnya.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia, saya berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan bagi mengeratkan hubungan antara rakyat kita yang mesra.
“Kepada lelaki dan wanita di seluruh Malaysia, saya tidak sabar untuk merasai budaya murni anda dan banyak belajar daripada anda,” katanya.
Adams berkata dia juga menantikan proses pengesahannya di hadapan 22 anggota Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat AS.
Adams, seorang pro-Zionis, sudah pun berdepan bantahan daripada beberapa pihak di sini, menjelang pendengaran pengesahannya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Biro Perhubungan Antarabangsa Pemuda PKR Arief Izuadin berkata, latar belakang Adams dikaitkan dengan ideologi ekstremis dan retorik perpecahan, yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai yang dijunjung oleh kerajaan Malaysia dan rakyatnya, iaitu pluralisme, toleransi dan solidariti kemanusiaan.
Arief berkata sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia berhak di bawah Perkara 4 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik untuk menyatakan keraguan atau menolak sebarang pelantikan diplomatik yang dianggap tidak konsisten dengan dasar luar negara atau sensitiviti domestiknya.
Katanya, penolakan seperti itu tidak seharusnya disalah anggap sebagai permusuhan, sebaliknya dilihat sebagai langkah yang perlu untuk menjaga integriti hubungan dua hala dan memastikan duta diplomatik dapat menyumbang secara konstruktif, dengan cara yang sejajar dengan aspirasi bersama kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan lain, Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Ismail Shah berkata bahawa Adams mungkin hanya menyemarakkan lagi kemarahan rakyat Malaysia.
Raja Kamarul berkata bahawa pada masa dunia menyaksikan keengganan AS yang berterusan untuk menghalang kempen Israel yang semakin kejam di Gaza, menghantar seorang diplomat bukan kerjaya yang tidak berpengalaman dengan latar belakang kontroversi berisiko membawa bencana diplomatik.
Sebelum ini, pertubuhan pro-Palestin dan Majlis Belia Malaysia juga membantah cadangan untuk Adams menjadi duta AS ke Malaysia berhubung ancaman keharmonian dan reputasi negara.
Pada 11 Julai, Presiden AS Donald Trump mencalonkan Adams - seorang pempengaruh Australia-Amerika, pengarang, dan menggambarkan dirinya sebagai "lelaki alpha" - sebagai duta AS ke Malaysia.
Lelaki berusia 40 tahun itu akan menggantikan Edgard Kagan, seorang diplomat kerjaya yang dicalonkan oleh bekas presiden Joe Biden pada Mei 2023.
Sebelum ini, tokoh masyarakat juga menyuarakan bantahan mereka terhadap pencalonan Adams, termasuk bekas menteri Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Jika Adams disahkan oleh Senat AS, Malaysia menolaknya mungkin mempunyai akibat besar dan berisiko menimbulkan kemarahan Trump.
Malaysia adalah salah satu daripada banyak yang menjadi sasaran Trump dalam perang tarifnya.
Minggu lalu, Trump menaikkan tarif ke atas Malaysia kepada 25 peratus daripada 24 peratus.
Berita berkaitan
July 16, 2025, 5:07 pm
Giliran Sarawak pula bakal haramkan vape
July 16, 2025, 3:09 pm
Seorang maut, 13 cedera termasuk budak, pikap terjunam dalam gaung 15 meter
July 16, 2025, 2:44 pm
Rafizi sindir PAS ubah pendirian isu kehakiman tiga kali seminggu
July 16, 2025, 2:34 pm
Johari tegur Ahli Parlimen gemar bersuara di luar, tapi jarang hadir sidang
July 16, 2025, 2:29 pm
Operasi SAR pempengaruh permotoran diperluas hingga 10km
July 16, 2025, 2:22 pm
Syiling Malaysia dipamer CIA sebagai artifak simbolik di ibu pejabat Virginia
July 16, 2025, 2:14 pm
2,467 kes keganasan rumah tangga direkod dalam masa 4 bulan
July 16, 2025, 1:22 pm