TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM mohon maaf kepada keluarga Teoh Beng Hock, sedia hulur sumbangan ihsan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menzahirkan permohonan maaf serta simpati kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock sempena ulang tahun ke-16 kematiannya yang berlaku ketika dalam siasatan agensi itu pada 2009.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam satu kenyataan berkata, pihaknya turut bersedia menyalurkan sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang sebagai tanda keprihatinan, khususnya bagi kebajikan dan pendidikan anak Beng Hock.

"SPRM mengambil maklum pada 12 Mei 2015, kerajaan membayar pampasan RM600,000 kepada keluarga mendiang dan tambahan RM60,000 bagi menampung kos guaman sebagai penyelesaian penuh dan muktamad di bawah Seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

"Namun demikian, sebagai tanda keprihatinan, SPRM bersedia memberi sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang dalam jumlah yang akan ditentukan kelak bagi tujuan kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang," katanya.

Azam menyifatkan tragedi pada 16 Julai 2009 sebagai detik hitam yang memberi kesan besar bukan hanya kepada keluarga mangsa, malah seluruh warga SPRM dan negara.

"Walaupun siasatan terkini tidak menemui bukti mencukupi untuk membuktikan apa juga kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang, SPRM tetap memandang serius mendiang Beng Hock ditemui meninggal dunia di premis SPRM Selangor pada 16 Julai 2009.

"Atas dasar keprihatinan, saya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM, ingin menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh itu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata SPRM telah mengambil pelbagai langkah penambahbaikan sejak insiden tersebut bagi menjamin keselamatan dan kebajikan individu yang hadir membantu siasatan.

Antara pembaharuan yang dilaksanakan termasuk mewujudkan Bilik Rakaman Bervideo (VIR) untuk merekod kenyataan saksi, suspek dan orang kena tangkap, serta Bilik Temu Bual Saksi di aras bawah untuk kemudahan dan pemantauan lebih telus.

"Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) juga dipertingkatkan dengan ciri berteknologi tinggi, kuantiti ditambah dan ditempatkan di lokasi strategik bagi mengawas dan merekod pergerakan serta perlakuan setiap orang yang memasuki premis SPRM," katanya.

Beliau berkata, dalam setiap operasi siasatan, pegawai menggunakan kamera badan (Body Worn Camera) untuk merakam semua aktiviti bagi menjaga integriti.

SPRM juga mengadaptasi teknik soal siasat PEACE dari United Kingdom yang memberi penekanan kepada keberhasilan dan keselamatan saksi.

"Kita juga menggunakan teknik soal siasat model PEACE (Planning, Engage, Account, Closure, Evaluation) yang dilaksanakan di United Kingdom (UK), yang menekankan aspek keberhasilan dan keselamatan dan diadaptasi sebagai MACC PEACE," katanya.

Mendiang Beng Hock, 30, merupakan Setiausaha Politik kepada EXCO Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah. Beliau ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematian Beng Hock berpunca daripada tindakan satu atau lebih individu yang tidak dikenali semasa dalam tahanan SPRM.

Siasatan semula kes itu dilakukan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan agar siasatan dilengkapkan dalam tempoh enam bulan bermula November lalu. Bagaimanapun, pada Mei lepas, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan kertas siasatan kes itu diklasifikasi sebagai 'Tiada Tindakan Lanjut' (NFA) selepas diteliti oleh Pejabat Peguam Negara.

+ - reset