Berita Berita
Sultan Selangor bersuara isu pelantikan hakim, tegur semua pihak

KUALA LUMPUR 17 Julai - Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah menitahkan agar semua pihak mengelak daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memiliki fakta lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara.
Baginda bertitah demikian dengan merujuk kepada proses serta tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan, yang menurutnya perlu mematuhi sepenuhnya setiap peruntukan undang-undang, khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Sultan Sharafudin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung semalam, selepas mesyuarat pre-council kelmarin. Antara agenda utama yang dibincangkan ialah rundingan pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.
“Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana mesyuarat ini telah dapat berjalan dengan baik dan lancar... Beta telah menekankan tentang keperluan untuk mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.
Baginda turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025, yang menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Ketua Hakim Negara dan jawatan utama lain dalam badan kehakiman atas nasihat Perdana Menteri serta selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Titah baginda lagi, proses pelantikan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan sebagai teras pemerintahan negara.
“Sehubungan dengan itu, semua pihak diseru supaya mengelakkan dari membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperoleh fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara,” titah Sultan Selangor.
Berita berkaitan
July 17, 2025, 8:20 pm
'Jangan ghairah nak makan lawan' - Rafizi anggap desakan gantung MP PKR langkah ‘makan diri’
July 17, 2025, 8:10 pm
Sikap materialistik punca masyarakat berminda rasuah – Azam Baki
July 17, 2025, 7:54 pm
Hamzah Zainudin dilantik Pengarah Pilihan Raya Bersatu
July 17, 2025, 7:39 pm
Suami gagal punca isteri cari ketenangan di luar – Menteri Agama
July 17, 2025, 6:51 pm