TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tolong saya' - Lelaki rayu orang ramai ada bukti dashcam kemalangan ragut nyawa adik di Kampung Teluk Panji

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 17 Julai – Seorang abang merayu orang ramai yang mempunyai rakaman papan pemuka (dashcam) atau kamera litar tertutup (CCTV) tampil membantu mengesan kenderaan yang dipercayai melanggar adiknya sehingga maut dalam kemalangan di Kampung Teluk Panji, di sini, malam Rabu lalu.

Mangsa, Muhammad Naqib Afnan Roslee, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dalam kejadian sekitar jam 9 malam.

Difahamkan, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sri Iman, kira-kira satu kilometer dari lokasi kemalangan, selepas keluar membeli makanan.

Menurut abangnya, Muhammad Nabil Aiman, 28, beliau dimaklumkan terdapat dua kenderaan terbabit dalam kemalangan, namun maklumat masih belum jelas.

“Saya dimaklumkan oleh orang awam ada dua kenderaan terbabit tetapi tak tahu mana-mana yang sahih. Satu kereta berhenti, manakala sebuah lagi dikatakan terus berlalu pergi dan belum dapat dikenal pasti,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, beliau berada di rumah mentua di Telipot apabila menerima panggilan daripada ibunya yang memaklumkan kejadian itu, sebelum segera ke lokasi.

“Masa saya sampai, adik sudah meninggal dunia dan jenazah ditutup dengan kain,” katanya.

Muhammad Nabil merayu kepada orang ramai yang mungkin memiliki rakaman kejadian agar tampil membantu siasatan.

“Kami reda dengan pemergiannya. Cuma kami nak tahu keadaan sebenar, sekarang samar-samar. Saya mohon jika ada siapa-siapa yang ada rakaman, tolong hubungi saya,” katanya.

Jenazah mangsa akan dibedah siasat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung Pendek.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman boleh menghubungi Muhammad Nabil di talian 014-2915989.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan kejadian berkenaan.

+ - reset