Berita Berita
Pelaksanaan NAS dijangka jana RM2 bilion, 2,000 peluang pekerjaan baharu

KUALA LUMPUR 17 Julai – Kajian awal mengenai pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) mendapati inisiatif itu bakal memberi kesan limpahan ekonomi sebanyak RM2 bilion kepada negara, selain mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, NAS akan memperkukuh sektor berasaskan lokasi seperti e-dagang, logistik dan perkhidmatan kurier dengan penggunaan alamat dan koordinat yang lebih tepat.
“Dengan NAS, penghantaran dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan efisien serta mengurangkan risiko kesilapan penghantaran. Setiap alamat akan digeokod dan diberikan pengecam lokasi unik bagi menjamin ketepatan serta keseragaman dalam pelbagai sektor,” katanya semasa merasmikan NAS 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Fahmi menjelaskan bahawa NAS bukan sekadar menyelesaikan isu alamat semasa, malah akan memberi impak besar terhadap produktiviti dan daya saing negara. Katanya, dalam situasi kecemasan seperti banjir atau kebakaran, NAS akan membolehkan pasukan penyelamat mengenal pasti lokasi dengan lebih pantas.
Menurutnya, Malaysia kini mempunyai lebih 12 juta alamat, namun tiada satu entiti yang memiliki liputan menyeluruh, dan kebanyakan data alamat yang dikendalikan agensi tidak mengikut piawaian serta tidak berpusat.
“Keadaan ini memberi kesan nyata kepada urusan harian termasuk kelewatan penghantaran, tindak balas kecemasan yang tidak efisien, serta cabaran dalam perancangan infrastruktur,” ujarnya.
Sebagai penyelesaian, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membangunkan dan melaksanakan NAS selaras dengan Seksyen 57 Akta Perkhidmatan Pos 2012.
“Pelaksanaan NAS telah mendapat persetujuan dasar Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Keempat (MED4IRN) yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 24 Jun lalu, dan ia dikenal pasti sebagai ‘Needle Mover’ dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” jelas beliau.
Dalam usaha mempercepat pelaksanaan, MCMC akan memulakan Pelan Anjakan NAS termasuk projek perintis bagi menguji model NAS dari segi tadbir urus, teknikal, pentadbiran dan integrasi data.
“Saya berharap pelan ini diterima pakai oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat logistik dan utiliti, serta rakyat Malaysia secara menyeluruh,” tambahnya. – Media Telus
Berita berkaitan
July 17, 2025, 8:20 pm
'Jangan ghairah nak makan lawan' - Rafizi anggap desakan gantung MP PKR langkah ‘makan diri’
July 17, 2025, 8:10 pm
Sikap materialistik punca masyarakat berminda rasuah – Azam Baki
July 17, 2025, 7:54 pm
Hamzah Zainudin dilantik Pengarah Pilihan Raya Bersatu
July 17, 2025, 7:39 pm
Suami gagal punca isteri cari ketenangan di luar – Menteri Agama
July 17, 2025, 6:51 pm