Berita Berita
DAP tunduk homat kepada keluarga Teoh Beng Hock, rayu terima sumbangan ihsan kerajaan

KUALA LUMPUR 17 Julai – Pimpinan tertinggi DAP tunduk sebagai tanda hormat dan dukacita terhadap keluarga mendiang Teoh Beng Hock, selain menyuarakan kekecewaan mereka terhadap siasatan kematian bekas setiausaha politik itu yang masih belum membuahkan hasil.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook bersama Naib Pengerusi Teo Nie Ching, Pengerusi DAP Selangor Ng Sze Han dan bekas majikan Teoh, Ean Yong Hian Wah, tunduk selama kira-kira 30 saat pada akhir sidang media di ibu pejabat DAP, di sini, semalam.
Loke turut merayu agar keluarga Teoh mempertimbangkan tawaran sumbangan ihsan daripada kerajaan yang disampaikan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebagai sokongan terhadap kebajikan dan pendidikan anak mendiang.
“Tawaran ini datang dari kerajaan dan tidak bersyarat. Keluarga Teoh masih bebas untuk meneruskan perjuangan mereka menuntut keadilan dan bersuara secara terbuka,” katanya.
Loke menegaskan sumbangan itu akan diserahkan sepenuhnya kepada balu mendiang, Soh Cher Wei, dan kerajaan bersedia menyerahkan pengurusan dana tersebut kepada beliau.
“Demi masa depan anak ini, kami dengan tulus berharap keluarga Teoh akan mempertimbangkan untuk menerima sumbangan ini,” kata Loke yang juga Menteri Pengangkutan.
Menurutnya lagi, DAP sentiasa komited menyokong usaha mencari kebenaran dan sedia memberikan bantuan guaman kepada keluarga mendiang pada bila-bila masa, terutama jika terdapat bukti baharu dalam kes itu.
Loke turut mengakui kekecewaan keluarga Teoh kerana tiada seorang pun didakwa berhubung kematian tersebut.
“Memandangkan siasatan masih belum lengkap dan hasilnya masih belum memenuhi harapan keluarga, DAP tunduk hormat kepada keluarga Teoh sebagai tanda hormat dan dukacita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini menyatakan kesediaan pihaknya memberi sumbangan ihsan kepada keluarga Teoh bagi membantu pendidikan anak mendiang, selain menzahirkan rasa simpati dan permohonan maaf atas penderitaan selama 16 tahun.
Namun, keluarga Teoh menolak tawaran dan permohonan maaf itu, menyifatkannya tidak ikhlas serta tidak menunjukkan rasa kesal sebenar.
Mengulas hal itu, Loke berkata permohonan maaf SPRM itu adalah yang pertama dan mencerminkan keikhlasan kerajaan Madani serta prinsip keadilan transisi apabila institusi negara mengakui kemudaratan yang dilakukan pada masa lalu.
Berita berkaitan
July 17, 2025, 8:20 pm
'Jangan ghairah nak makan lawan' - Rafizi anggap desakan gantung MP PKR langkah ‘makan diri’
July 17, 2025, 8:10 pm
Sikap materialistik punca masyarakat berminda rasuah – Azam Baki
July 17, 2025, 7:54 pm
Hamzah Zainudin dilantik Pengarah Pilihan Raya Bersatu
July 17, 2025, 7:39 pm
Suami gagal punca isteri cari ketenangan di luar – Menteri Agama
July 17, 2025, 6:51 pm