TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Green Packet lantik Shahul Hameed sebagai Pengarah Urusan, CEO, terajui kebangkitan baharu teknologi serantau

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Syarikat teknologi Malaysia, Green Packet Berhad hari ini mengumumkan pelantikan tokoh pembangunan nasional, Datuk Wira Shahul Hameed Dawood, sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu, berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan ini bukan sekadar penyusunan semula kepimpinan tetapi sebagai langkah strategik untuk membawa Green Packet ke pentas digital serantau dengan visi baharu yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi.

Dengan lebih tiga dekad pengalaman merentas sektor kerajaan, korporat, pendidikan dan pembangunan masyarakat, Shahul Hameed dikenali kerana kemampuannya menyatukan kekuatan pelbagai pihak untuk menjana perubahan sistemik.

Beliau sebelum ini menerajui HRD Corp (Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia) dan menjadi arkitek utama kepada pelaksanaan dasar latihan dan peningkatan kemahiran yang menyentuh kehidupan jutaan rakyat Malaysia.

Kini, beliau membawa kepimpinan tersebut ke Green Packet, syarikat yang sebelum ini sinonim dengan teknologi wayarles dan kini dalam fasa repositioning sebagai peneraju inovasi digital berteraskan impak sosial.

“Peranan ini bukan sekadar memimpin sebuah syarikat, ia tentang menyelaraskan teknologi dengan kemajuan dunia sebenar,” ujar Shahul Hameed dalam kenyataan rasmi pertamanya.

“Green Packet memiliki tenaga kerja, platform dan semangat untuk membawa impak yang melangkaui Malaysia. Saya berbesar hati untuk bekerjasama dengan pasukan dan rakan strategik kami dalam membentuk penyelesaian yang benar-benar memberi makna di peringkat tempatan dan global," katanya.

Menurut pemerhati industri, pelantikan ini adalah isyarat jelas bahawa Green Packet bersedia mengambil risiko untuk tampil semula sebagai pemain utama dalam landskap digital Asia Tenggara bukan sekadar melalui keuntungan komersial, tetapi dengan menjadikan inovasi sebagai alat pemerkasaan sosial dan ekonomi.

Shahul Hameed juga bukan asing lagi di peringkat antarabangsa atas kejayaannya menjalin kerjasama strategik rentas sempadan satu aset penting dalam misi Green Packet untuk membina ekosistem teknologi serantau yang mampan dan inklusif.

Pelantikan ini dijangka membuka lembaran baharu buat Green Packet, dengan tumpuan kepada pembangunan penyelesaian digital untuk komuniti, perniagaan kecil dan pemegang taruh kerajaan sejajar dengan keperluan pasaran pasca-pandemik dan Revolusi Industri Keempat.

 

Tentang Green Packet

Green Packet Berhad ialah penyedia penyelesaian teknologi Malaysia yang komited membina ekosistem digital yang lestari dan inklusif di rantau ini. Syarikat ini terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin transformasi digital bagi perusahaan, komuniti dan kerajaan ke arah masa depan yang berdaya saing dan seimbang.

 

+ - reset