TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Shazeli Kahar kini Ketua Polis Selangor baharu

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 30 Julai - Datuk Shazeli Kahar, Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, telah dilantik sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Hussein Omar Khan yang sebelum ini menyandang jawatan tersebut sebelum dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 21 Julai lalu.

Sementara menantikan pelantikan rasmi, jawatan berkenaan telah dipangku oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Zaini Abu Hassan.

Majlis pemakaian pangkat serta serah terima tugas telah diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Bukit Aman, Komisioner Polis Gilberd Philip Layang.

Dalam ucapannya, Shazeli merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya dan menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Saya sedar harapan masyarakat dan warga PDRM terhadap kepimpinan yang berintegriti, berwibawa dan dekat di hati.

“Justeru, saya bertekad untuk meneruskan legasi kecemerlangan pentadbiran yang telah dibina sebelum ini serta memacu perubahan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negeri Selangor sentiasa terpelihara,” katanya pada Rabu.

Shazeli, 50, mempunyai pengalaman hampir 25 tahun dalam perkhidmatan PDRM sejak mula bertugas sebagai pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah memegang beberapa jawatan penting di Bukit Aman serta pernah mengetuai Cawangan Khas di IPK Perak dengan fokus utama terhadap pemantauan ekstremisme sosial dan pelampau agama.

+ - reset