TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dakwa perintah papar harga ubat tidak rasional, persatuan perubatan cabar keputusan wajibkan klinik pamer harga ubat

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Julai - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bersama tujuh lagi pihak memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar peraturan yang mewajibkan kemudahan penjagaan kesihatan swasta memaparkan harga ubat-ubatan.

Menurut laporan Berita Harian, antara pemohon lain termasuklah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sabah (APPS), Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dan Antara Disiplin Malaysia (MAAFIM), Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Persatuan Pengamal Pergigian Swasta Malaysia (MPDPA), Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak (SPMPS) serta seorang pengamal perubatan dari Lahad Datu, Sabah, Dr Saifulbahri Ahmad @ Mohd Zailani.

Permohonan itu difailkan pada 25 Julai lalu melalui firma guaman Tetuan Ngeow Law Practice dan menamakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Menteri Kesihatan serta Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Kesemua pemohon mewakili pertubuhan masing-masing iaitu:

  • Dr Vasu Pillai Letchumanan (Setiausaha Agung Kehormat MMA)

  • Dr Deva Das Pathiyil Ramankutty (Presiden APPS)

  • Dr Narjit Singh Harbans Singh (Naib Presiden MAAFIM)

  • Dr Bol Saidi @ Nas Saiyidi Abdul Razak (Pengerusi PERDIM)

  • Dr Shanmuganathan TV Ganeson (Presiden FPMPAM)

  • Dr Mahendran Ponnudurai (Naib Bendahari MPDPA)

  • Dr Tan Cheow Hwa (Setiausaha SPMPS)

  • Dr Saifulbahri Ahmad @ Mohd Zailani

Mereka memohon agar Mahkamah membatalkan keputusan KPDN bertarikh 29 April lalu, yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 30 April 2025, berkaitan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga bagi Ubat) 2025 yang digubal di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Sebagai alternatif, pemohon mahu perintah itu dibatalkan setakat mana ia merujuk kepada kemudahan penjagaan kesihatan swasta.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa perintah tersebut adalah cacat dan tidak sah dari segi undang-undang, tidak rasional, tidak munasabah serta tidak teratur dari segi prosedur.

Selain itu, pemohon meminta agar perintah itu diisytiharkan tidak terpakai kepada kemudahan penjagaan kesihatan swasta serta pengamal perubatan dan doktor pergigian berdaftar.

Mereka turut memohon penangguhan pelaksanaan perintah tersebut sehingga Mahkamah Tinggi mendengar dan memutuskan permohonan mereka.

Untuk rekod, perintah tersebut mewajibkan kemudahan penjagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti memaparkan harga runcit ubat, dan kini berada dalam tempoh kelonggaran penguatkuasaan yang bakal tamat esok (31 Julai).

Pada 4 Mei lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan bahawa tiada denda atau kompaun dikenakan sepanjang tempoh tiga bulan tersebut kerana tumpuan kementerian ketika ini adalah terhadap aspek pendidikan.

Sehingga kini, tiada pengumuman dibuat oleh KPDN mahupun Kementerian Kesihatan mengenai sebarang lanjutan tempoh kelonggaran itu.

Menurut pemohon, jika pendakwaan jenayah dilaksanakan terhadap pengamal perubatan dan perintah tersebut kemudiannya dibatalkan oleh mahkamah, ia akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki termasuk kerugian kos, denda, serta pembaziran dana awam.

Mereka turut berpendapat bahawa tiada keperluan mendesak bagi pelaksanaan perintah tersebut, lebih-lebih lagi memandangkan ia telah beberapa kali ditangguhkan sebelum ini. Semua pemohon diwakili oleh peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au.

Mahkamah Tinggi menetapkan 22 Ogos ini sebagai tarikh pengurusan kes bagi permohonan semakan kehakiman tersebut.

Alasan Permohonan

Antara hujah yang dikemukakan dalam permohonan itu ialah bahawa perintah yang dipertikaikan – khususnya yang terpakai terhadap fasiliti penjagaan kesihatan swasta – adalah tidak sah kerana ia melangkaui bidang kuasa KPDN.

Menurut pemohon, Seksyen 10 AKHAP 2011 tidak terpakai terhadap bahan racun yang dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar bagi tujuan rawatan, sebagaimana dibenarkan dalam Seksyen 19 Akta Racun 1952.

Mereka berhujah bahawa pelaksanaan perintah ke atas klinik perubatan dan pergigian swasta adalah tidak wajar kerana entiti ini bukanlah pembekal "barangan atau perkhidmatan" dalam konteks AKHAP 2011.

Tambah mereka, Perenggan 3 dalam perintah berkenaan secara salah menganggap bahawa fasiliti penjagaan kesihatan swasta menjalankan perniagaan "membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan" ubat-ubatan seperti yang dimaksudkan dalam akta tersebut.

Menurut pemohon lagi, akta induk yang memberi kuasa kepada perintah itu tidak boleh digunakan untuk mengekang aktiviti profesional yang melibatkan penjualan, pembekalan dan pentadbiran bahan racun oleh pengamal perubatan dan doktor pergigian.

Mereka menegaskan bahawa pelaksanaan rawatan perubatan dan pergigian bukanlah transaksi jual beli atau pembekalan perkhidmatan dalam erti kata AKHAP 2011, dan oleh itu caj rawatan serta pemberian ubat tidak boleh dianggap sebagai "harga ubat-ubat" tetapi merupakan sebahagian daripada yuran profesional.

+ - reset