Berita Berita
'Arwah anak baru jalani latihan PALAPES tapi dikebumikan dengan protokol penuh' - Ibu Syamsul Haris syak punca sebenar kematian anak disembunyikan
Oleh NUR LELA ZULKIPLI
KUALA LUMPUR 12 Ogos - Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, mempersoalkan percanggahan maklumat awal berhubung waktu kematian anaknya.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, pada 28 Julai lalu, beliau dimaklumkan oleh seorang jurulatih PALAPES bahawa anaknya dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi kerana mengalami sawan atau meracau.
Namun, kira-kira 30 minit kemudian, beliau menerima panggilan kedua daripada pihak sama memaklumkan anaknya telah meninggal dunia.
“Saya tiba di hospital sekitar jam 4 pagi dan melihat kecederaan seperti lebam di mata, pendarahan luar biasa di hidung dan mata, luka di mulut serta pendarahan teruk di leher yang ditutup dengan kapas.
“Kami tidak dibenarkan membuka selimut yang menutupi jasad atau mengambil gambar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Syamsul Haris meninggal dunia selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Johor.
Ummu mendakwa, pihak hospital memaklumkan anaknya tiba dalam keadaan ‘Brought in Dead’ (BID) pada jam 6.23 petang, sedangkan borang pendaftaran mencatatkan waktu kematian pada jam 3.50 petang.
“Kami juga hairan mengapa pengebumian dilakukan dengan penuh protokol ketenteraan sedangkan anak saya belum ditauliahkan,” katanya.
Beliau turut mendakwa bedah siasat mendapati terdapat kecederaan teruk pada tubuh anaknya yang tidak selari dengan penjelasan awal bahawa kematian berpunca daripada sawan.
Sebelum ini, keluarga menuntut siasatan segera berhubung punca sebenar kematian dan memohon pihak berkuasa termasuk polis serta Kementerian Kesihatan memberikan penjelasan. - Media Telus
Berita berkaitan
May 19, 2026, 4:48 pm
KPM peruntuk RM169 juta sedia tablet untuk murid sekolah rendah
May 19, 2026, 3:01 pm
Kad janji temu bahasa Cina, KKM jamin ambil tindakan sewajarnya
May 19, 2026, 2:18 pm
'Pastikan Pandan terus kekal milik PKR' - Anwar
May 19, 2026, 2:06 pm
Pemandu lori didakwa rotan, tampar anak tiri hingga cedera kerana mahu ke sekolah awal
May 19, 2026, 1:09 pm
Bekas pengarah JANS didapati bersalah kes pengubahan wang haram
May 19, 2026, 12:58 pm
Gajah Pygmy Borneo mati dibunuh, kepala dan gading dilarikan pemburu haram
May 19, 2026, 12:44 pm
